Ulat mulong atau si’et dalam bahasa Melanau atau tinduh dalam bahasa Iban, sebenarnya bukan berasal dari ulat tetapi berasal dari anak kumbang rumbia yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang telah buruk.
Bagi masyarakat Sarawak, ulat mulong yang gemuk berlemak ini mempunyai rasa yang enak dan boleh dinikmati sama ada dimasak dengan menggoreng, salai dan tumis. Penggemar Mulong biasanya makan secara mentah sewaktu masih hidup sambil dicicah dengan garam halus sebelum memakannya atau dinikmati bersama sagu. Rasa nya seperti udang yang di goreng.
Ia juga boleh disediakan dalam bentuk goreng kicap atau sup. Keunikan rasanya yang berlemak menjadikan ulat mulong ini disukai ramai, bukan sahaja di kalangan kaum bumiputera bahkan kaum lain seperti Cina dan pelancong dari luar negara.
Ulat mulong dijual berdasarkan saiz dan kematangannya. Seekor ulat mulong matang yang besar dijual dengan harga antara 40 sen hingga 50 sen.
Comments
Post a Comment