Penentangan Rentap
Pada 19 Ogos 1844 di Karangan Peris dalam daerah Skrang, Libau 'Rentap' bersama pasukannya telah ulung kalinya bertempur dengan pasukan Rajah James Brooke dan Kapten Keppel daripada Tentera Laut DiRaja Inggeris. Pada pertempuran ini, antara yang terkorban daripada pasukan Brooke ialah Datu Patinggi Ali dan pasukan perisiknya dari Sarawak yang telah mara duluan daripada pasukan utama kecuali hanya seorang yang masih hidup dan seorang Inggeris bernama George Steward.
Selepas pertempuran di Beting Maru, pemerintah Brooke telah membina sebuah kubu di Nanga Skrang dengan tujuan menyekat pergerakan orang-orang Skrang ke arah Batang Lupar dan seterusnya keluar ke Laut China Selatan untuk bekerjasama dengan Linggir "Mali Lebu" dari Paku dan Aji Apai Limba dari Padeh bagi mengamalkan kegiatan mengayau kepala manusia dan membeli barangan keperluan seperti garam atau menentang pemerintahan Brooke di Sarawak pada ketika itu.
Pada awal tahun 1853, Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan Brooke di kubu Nanga Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Berlakulah pertempuran yang sengit antara kedua-dua pihak di Lintang Batang. Semasa pertempuran itu, seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya dan William Brereton telah tercedera tetapi masih dapat melarikan diri. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke hulu Sungai Skrang. Walau bagaimanapun, pengikut Brooke kemudiannya telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman para pengikut Rentap.
Comments
Post a Comment