Kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap di Bukit Sadok. Cubaan pertama adalah dalam Jun 1857. Semasa serangan ini, seorang anggota pasukan Brooke yang bernama Abang Aing telah ditembak dan terpaksa dibawa turun ke bawah bukit. Melihat kejadian ini, pasukan Rentap telah menjerit kegembiraan dan memukul gong mereka.
Dalam tahun 1858, pasukan Brooke buat kedua kalinya menyerang kubu Rentap di atas Bukit Sadok tetapi tembakan meriam mereka tidak dapat menembusi pagar kubu Rentap. Jadi, pasukan Rentap telah melaungkan dengan megahnya kepada pasukan Brooke untuk membawa meriam yang lebih besar lagi pada masa akan datang.
Namun pada tahun 1861, barulah serangan pasukan Brooke yang ketiga kalinya berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa sebuah meriam besar yang dikenali sebagai "Bujang Sadok" untuk menembak dan merobohkan pagar kubu Bukit Sadok. Sebelum pertempuran ini, pasukan Brooke telah menawarkan pengampunan kepada abang-abang arwah Aji yang telah ditembak mati oleh pasukan Brooke di Sungai Langit iaitu Nanang dan Luyoh supaya mereka menyerah diri dan dihukum membayar 40 biji tempayan rusa. Tawaran yang sama dicadangkan kepada Rentap dengan denda 12 biji tempayan, musnahkan kubu Bukit Sadok dan meninggalkan kubu itu dengan segera. Tetapi Rentap menolak tawaran ini walaupun telah diberitahu bahwa pasukan Brooke ada membawa sebuah meriam yang besar dalam serangan kali ketiga ini. Semua wanita dan kanak-kanak telahpun diarahkan untuk meninggalkan kubu tersebut. Semasa pertempuran dengan pasukan Brooke, seorang pengendali meriam Rentap dan beberapa rakannya telah terkorban kerana terkena tembakan meriam pasukan Brooke. Seterusnya, kubu dan rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya dibakar oleh pasukan Brooke pada 20 Oktober 1861.
Comments
Post a Comment